Bermula dengan penubuhan Majlis Daerah Petaling (MDP) pada 1 Januari 1977 dengan dua Pelan Warta (PW) iaitu PW 463 dan PW 511 meliputi sebahagian kecil Daerah Petaling. MDP telah dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor No. 26 bertarikh 2 Januari 1997. Kawasan pentadbiran MPSJ adalah seluas 16180.00 hektar sebahagian daripada keluasan Daerah Petaling yang meliputi Mukim Petaling dan Mukim Damansara. Keluasan pentadbiran MPSJ adalah merujuk kepada Pelan Warta 1192 .

Kemudiannya MPSJ telah dinaik taraf kepada Majlis Bandaraya yang dikenali dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 20 Oktober 2020 melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bil. Jil. 73 No. 21 bertarikh 8 Oktober 2020 dengan keluasan pentadbiran yang sama seperti Pelan Warta 1192. dengan keluasaan tapak 16,180 hektar dan terbahagi kepada tujuh (7 ) Blok Perancangan mengikut Rancangan Tempatan Subang Jaya 2035 (RTSJ 2035 ) iaitu:

Blok Perancangan 1 ( Subang Jaya – USJ );
Blok Perancangan 2 ( Subang Hi – Tech );
Blok Perancangan 3 ( Putra Height );
Blok Perancangan 4 ( Kinrara );
Blok Perancangan 5 ( Puchong );
Blok Perancangan 6 ( Bandar Putra Permai ); dan
Blok Perancangan 7 ( Seri Kembangan )

Kedudukan Geografi Majlis Bandaraya Subang Jaya

Majlis Bandaraya Subang Jaya ( MBSJ ) merupakan salah satu daripada Pihak Berkuasa Tempatan yang terletak di dalam Wilayah Lembah Klang. Keluasaannya merangkumi 161.8 km persegi. Ia terdiri daripada dua (2) mukim iaitu Mukim Damansara dan Mukim Petaling.

Kedudukan MBSJ adalah strategi kerana ia bersempadan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ( DBKL ), Majlis Bandaraya Shah Alam ( MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya ( MBPJ ) dan Majlis Perbandaran Klang(MPK ).


Maklumat Gunatanah Semasa Kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya


Subang Jaya mengalami pertambahan pembangunan yang pesat dari tahun 2003 hingga tahun 2018. Disebabkan oleh kepesatan pembangunan ini, guna tanah bagi kawasan MBSJ didominasi oleh guna tanah pengangkutan dengan jumlah keluasan 4,125.65 hektar (25.50%) perhubungan penduduk setempat.

Sumbangan : Jabatan Perancang Bandar MPSJ

MS