
Penubuhan Majlis Bandaraya Subang Jaya
Pembangunan bandar Subang Jaya bermula sekitar tahun 1974. Terdahulu, ia adalah merupakan kawasan ladang kelapa sawit, ladang getah, tanah bekas lombong bijih timah dan sebahagian hutan simpan yang telah dibangunkan untuk hartanah perindustrian, perniagaan. perumahan. kemudahan-kemudahan awam. infrastruktur dan utiliti.
Rentetan sejarah pembentukan bermula apabila Pihak Berkuasa Negeri Selangor Darul Ehsan telah mengambil langkah untuk menyusun semula sempadan dan pentadbiran beberapa PBT iaitu Lembaga Bandaran Petaling, Lembaga Bandaran Serdang dan Lembaga Bandaran Subang dengan menubuhkan Majlis Daerah Petaling (MDP) pada 1 Januari 1977 sebagai Pihak Berkuasa Tempatan.
Pada tarikh 2 Januari 1997, MDP dengan rasminya telah dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengikut Akta Kerajaan Tempatan1976 (Akta 171) di bawah Seksyen 4 melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor No: 26.
DYMM Sultan Selangor telah memberi perkenan mengisytiharkan naik taraf MPSJ sebagai bandar raya pada tarikh keramat 20 Oktober 2020. Naik taraf Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) adalah di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dengan pewartaan di bawah Seksyen 4 Warta Kerajaan Negeri Selangor.
Kawasan pentadbiran MBSJ seluas 161.8 km2 merangkumi Subang Jaya, Batu 3, Putra Height, Puchong, Kinrara. Serdang dan Seri Kembangan. Terdiri daripada enam (6) kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri(DUN), dua (2) kawasan Parlimen iaitu Subang dan Puchong serta dibahagikan kepada tujuh (7) Blok Pembangunan.
Sehingga tahun 2020, guna tanah sedia ada kawasan MBSJ adalah seluas 13,894.66 hektar, pembangunan komited seluas 1,799.06 hektar serta cadangan pembangunan seluas 486.28 hektar. Guna tanah MBSJ secara keseluruhannya adalah diperuntukkan bagi kawasan perumahan. perniagaan (termasuk tadika swasta), perindustrian pembangunanbercampur,institusi dan kemudahan masyarakat, infrastruktur dan utiliti, tanah lapang, hutan, badan air serta pengangkutan..
Terletak di lokasi yang strategik di Lembah Klang menjadikan bandar raya ini sebagai kawasan tumpuan dalam arena pembangunan, ekonomi, pendidikan, pelancongan dan kediaman.

Bandraya Mampan Yang Bestari
Bandaraya 'smart vibrant' yang mempunyai keunikan tersendiri dengan memberikan sepenuhnya ruang dan peluang kepada warga kota untuk terlibat dalam merancang dan membangunkan urbanisasi fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar dengan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi dan komunikasi moden untuk memenuhi keperluan dan gaya hidup semasa dan masa hadapan.

Kota Niaga
Bandaraya yang menawarkan pelbagai peluang untuk kecemerlangan berterusan dalam sebuah lanskap ekonomi yang inklusif, mampan, maju dan kompetatif.

Kediaman ldaman
Peningkatan tahap kualiti kehidupan melalui simbiosis pintar yang menggabungkan keharmonian interaksi di antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam dan manusia dengan Pencipta yang menjadikan bandaraya ini sebagai lokasi kediaman idaman.

Antarabangsa
Mercu keunggulan bandaraya bertaraf antarabangsa yang mempunyai tahap daya tahan dan daya saing global