Aktiviti Bulan Februari 2012
| Gambar Aktiviti | Maklumat Aktiviti |
|---|---|
![]() |
Sempena 15 tahun usia MPSJ ditubuhkan pada 2 Januari 2012, pelbagai aktiviti telah dirangka bagi mengisi sambutan ulangtahun pada kali ini. Bermula dengan sambutan Majlis Pelancaran Program Kempen Plastik Mampan di Orange Atrium, Kompleks Membeli Belah Sunway Pyramid pada 10/2/2012 lalu, MPSJ telah mengambil langkah menyahut seruan Kerajaan Negeri Selangor yang menyeru semua PBT bebas daripada penggunaan plastik terutamanya dalam penyediaan makanan. Y.Bhg Dato Asmawi Bin Kasbi dalam ucapannya menekankan “penggunaan plastik konvensional yang semakin berleluasa pada masa kini sebenarnya telah menyumbang kepada kerosakan alam sekitar dan persekitaran. Ianya tidak terurai dan menyebabkan kerosakan terhadap tapak pelupusan sampah”. Hadir sama di majlis pelancaran adalah Y.B Teresa Kok Suh Sim, Exco Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Kinrara. |
![]() |
Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Subang Jaya 2020 telah diwartakan pada 27 Mei 2010 dengan No Warta 1566. Walaubagaimanapun dengan pembangunan pesat telah mengakibatkan terdapat beberapa permohonan perancangan yang didapati bercanggah dengan zon guna tanah yang telah ditetapkan di dalam Rancangan Tempatan yang telah diwartakan tersebut. Didapati sebahagian daripada cadangan pembangunan ini wajar diberikan pertimbangan. Justeru itu, Program Publisiti & Penyertaan Awam 2012 bagi Rancangan Tempatan MPSJ (Pengubahan 1) 2020 dan Rancangan Kawasan Khas Bukit Serdang Selangor Darul Ehsan 2010-2020 telah disempurnakan oleh Y.Bhg YB Tuan Iskandar Bin Abdul Samad, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan telah berlangsung di Emperor Ballroom, Empire Hotel Subang pada 13/2/2012 yang lalu. Turut di hadiri oleh Tuan Hj. Abdullah Bin Marjunid, TYDP MPSJ, Y.Bhg Tuan Haji Mohd Zaki Bin Ibrahim, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar & Desa Negeri Selangor, Y. Bhg Dato’ Zulkepli Bin Ahmad, Pegawai Daerah Petaling, Ahli-ahli Parlimen, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dan Ketua-Ketua Jabatan Negeri Dan Daerah. Hadir sama dalam upacara berkenaan adalah Ahli-ahli Majlis MPSJ, Pengerusi –pengerusi JKKK dan wakil-wakil penduduk. Rancangan Tempatan MPSJ 2020 perlu dibuat beberapa pindaan dengan seberapa segera yang boleh. Ini adalah supaya cadangan-cadangan pembangunan yang telah dimasukkan dalam peta cadangan guna tanah 2020, sekiranya dipersetujui dan diluluskan akan dapat dilaksanakan. Penyediaan Rancangan Tempatan sangat penting dalam proses pembangunan kerana ia merupakan satu dokumen penting dalam memandu arah tuju perancangan dan pembangunan di kawasan pihak berkuasa tempatan khasnya dalam Negeri Selangor amnya. Program Publisiti & Penyertaan Awam ini telah berlangsung selama 4 minggu bermula 13 Februari 2012 sehingga 19 Mac 2012 dimana orang awam dapat menyemak bahan-bahan pameran dan dokumen-dokumen di tiga lokasi utama iaitu di Lobi MPSJ, Bangunan MPSJ, Ruang Legar Jabatan Perancang Bandar Dan Desa Negeri Selangor, Bangunan Darul Ehsan dan Ruang Legar Kompleks 3K, Serdang Raya. |
![]() |
Jabatan Audit Negara telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan Indeks Akuantabiliti Pengurusan Kewangan bagi menilai prestasi pengurusan kewangan semua Jabatan Kerajaan termasuklah MPSJ bagi tempoh satu tahun. Jabatan Audit Negara telah melaksanakan Audit Akauntabiliti Pengurusan Kewangan MPSJ pada 14 Februari 2012 yang lalu dan menilai 9 elemen iaitu kawalan pengurusan organisasi, kawalan bajet, kawalan terimaan, kawalan perbelanjaan, pengurusan akuan amanah, kumpulan wang amanah keajaan dan deposit, pengurusan aset dan inventori, pengurusan pelaburan, pengurusan pinjaman dan penyata kewangan. Dengan adanya penarafan ini ia dapat membantu MPSJ bagi mewujudkan budaya kerja yang berasakan amalan terbaik untuk meningkatkan tahap akauntabiliti pengurusan kewangan dalam sektor awam dan seterusnya meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan awam. |
![]() |
Bersempena dengan Sambutan Hari Perbandaran ke-15 MPSJ pada tahun ini, MPSJ buat julung-julung kalinya mengadakan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat MPSJ pada 18 Febuari 2012 bertempat di Dewan Serbaguna MPSJ, SS15, Subang jaya. Majlis Diserikan dengan kehadiran Berhormat Dato’ Teng Chang Khim, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor. Seramai 2,500 tetamu yang menghadiri majlis tersebut di persembahkan dengan pelbagai persembahan seperti gendang 24 Drum, Persembahan wushu, akrotik, Face Changing, Persembahan nyanyian serta Tarian Endang dari kompleks 3C, MPSJ. Bagi memeriahkan lagi sambutan pada kali ini, kesemua Ahli Majlis Kawasan telah bersetuju menyumbang sebanyak RM500 dengan peruntukan jawatankuasa penduduk mereka. |
![]() |
Pihak Majlis telah menjalani audit pensijilan MS ISO 9001:2008 (audit peringkat 2) pada 20-23 Februari 2012 yang lalu oleh auditor daripada SIRIM. Laporan dibentangkan berdasarkan skop pensijilan sepertimana yang telah dipersetujui merangkumi 7 aktiviti iaitu pengurusan kawalan pembangunan tanah, pengurusan penyediaan dan pembaikan projek infrastruktur dan kemudahan awam, pengurusan kawalan perniagaan, pengurusan pembersihan dan kesihatan perbandaran, pengurusan khidmat kemasyarakatan, serta pengurusan cukai harta dan pengurusan perkhidmatan sokongan. Encik Ata Abdul Muniem Bin Hassan Adli selaku Ketua Juruaudit yang mewakili SIRIM QAS International Sdn Bhd berserta 5 orang Juruaudit yang turut serta dalam sesi pengauditan telah melahirkan rasa terima kasih di atas layanan, kerjasama dan keterbukaan pihak MPSJ sepanjang tempoh pengauditan selama 4 hari selain secara keseluruhannya pihak Auditor berpuashati dengan kaedah yang telah dilaksanakan oleh MPSJ dalam usaha mendapatkan pensijilan MS ISO 9001:2008. |
![]() |
Program pembasmian kacauganggu tikus di kawasan perniagan di seluruh kawasan pentadbiran MPSJ adalah usaha pihak MPSJ untuk memastikan persekitaran yang sihat dengan mencegah penularan penyakit bawaan tikus. Berdasarkan statistik aduan mengenai kacauganggu tikus yang diterima kebanyakan aduan kacauganggu tikus melibatkan kawasan perniagaan premis makanan. Dari pemerhatian didapati peningkatan populasi tikus di kawasan perniagaan adalah disebabkan wujudnya banyak sumber makanan yang dihasilkan oleh premis-premis makanan yang tidak dilupus dengan baik seperti pembuangan sampah merata-rata di dalam longkang, dilorong-lorong belakang dan sebagainya. Tidak menyediakan tong sampah yang mencukupi, tiada perangkap sisa grease trap dan membasuh di atas longkang dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, tindakan dari pihak MPSJ saja tidak memadai, kesedaran dan penglibatan peniaga dan penduduk setempat di dalam memastikan kebersihan amatlah diperlukan di dalam usaha untuk mengurangkan populasi tikus. Justeru itu, MPSJ dengan kerjasama JKP Zon 14 telah menabur racun tikus pada 18/2/2012 di kawasan perniagaan Puchong Permai. Sebanyak 8,250 hirisan roti telah digunakan sebagai umpan dan sebanyak 1,755gm racun telah digunakan untuk diletakkan dikawasan hotspot. Pada 19/2/2012 pula telah diadakan gotong-royong membersih dan mengutip tikus yang mati bersama peniaga dan penduduk setempat. Sebanyak 109 ekor telah berjaya dihapuskan dalam operasi berkenaan. |
![]() |
Didalam usaha memperkasakan Program Bandar Selamat dibawah Local Agenda 21 MPSJ, Pihak Majlis menganjurkan Program Belia Bersatu Mencegah Jenayah 2012 pada 25-26 Februari 2012 yang lalu. Program yang mendapat kerjasama daripada IPD Subang dan Serdang serta Petronas Dagang ini merupakan kesinambungan daripada program yang pernah dijalankan buat pertama kalinya pada tahun 2011. Program ini diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada para belia mengenai tatacara pihak polis melaksanakan tugasan mereka. Di antara aktiviti yang dilaksanakan bermula pada 25 Februari 2012 di Kompleks Rakan Muda , Puchong adalah seperti ceramah mengenai rondaan keselamatan dan para belia turut diberi peluang merasai pengalaman mengadakan Ops Sekatan Jalan Raya dan Speed Trap bersama-sama kumpulan masing-masing. Upacara penutup pada 26 Februari 2012 yang telah diadakan di Stesyen Minyak Petronas, Puchong Utama telah disempurnakan oleh ACP Tuan Yahaya Bin Ramli, Ketua Polis Subang Jaya. Sesi penutup telah dipamerkan dengan satu acara demonstasi polis dan berakhir dengan upacara penyampaian sijil kepada peserta. Diharapkan agar objektif pelaksanaan program ini dapat memberi pendedahan kepada masyarakat supaya prihatin terhadap persekitaran sekaligus menjadi mata, telinga kepada pihak polis dalam mengawasi serta melaporkan sebarang insiden yang melibatkan keselamatan awam. |






