Aktiviti Bulan Jun 2011


Gambar Aktiviti Maklumat Aktiviti

ANGKAT SUMPAH PENERIMAAN JAWATAN YANG DIPERTUA MPSJ

Majlis Perbandaran Subang Jaya secara rasminya telah menerima Yang Dipertua baru pada 1 Jun 2011 yang lalu. Beliau adalah Y.Bhg Dato’ Asmawi Bin Kasbi yang telah berkhidmat dengan kerajaan selama lebih 30 tahun. Y.Bhg Dato’ Asmawi Bin Kasbi telah berkhidmat selama 15 tahun dengan Kerajaan Persekutuan dan 15 tahun dengan Kerajaan Negeri Selangor. Berkelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (1978), Diploma dalam bidang Pengurusan Awam (1983), Ijazah Sarjana Sains Pengurusan Sumber Tanah (2001) dan Sijil dalam bidang Land Resource Management And Urban Development dari University Of Cambridge United Kingdom (2001). Beliau memulakan perkhidmatan sebagai Penolong Pengarah Tanah dan Galian Selangor pada tahun 1979, pernah menjawat jawatan Penolong Pegawai Daerah Petaling pada tahun 1984, kemudian sebagai Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Kontrak dan Bekalan dan Bahagian Pentadbiran, Kementerian Kewangan Malaysia pada tahun 1989. Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Timbalan Projek Unit Kerajaan Elektronik (e-Perolehan) pada tahun 1999. Pada tahun 2002, beliau ditukarkan sebagai Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Y.Bhg Dato’ Asmawi Bin Kasbi sempat menjawat jawatan sebagai Pegawai Daerah Tanah Kuala Langat pada tahun 2005 sebelum dinaikkan pangkat sebagai yang Dipertua MPSJ pada Mei 2011. Majlis Mengangkat Sumpah dan Melafaz Ikrar Menerima Jawatan sebagai Yang Dipertua MPSJ telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Kenanga pada 6 Jun 2011 dengan disaksikan oleh 24 orang Ahli Majlis, Ketua-Ketua Jabatan MPSJ dan pihak Media. Majlis berkenaan berakhir dengan sidang media dan sesi fotografi untuk memperkenalkan Yang Dipertua MPSJ yang baru kepada umum.

PELEPASAN NYAMUK TOXO USJ 1

MPSJ serius di dalam mengawal dan menangani penyakit demam denggi. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi menangani permasalahan ini seperti penganjuran Kempen 10 minit seminggu, aktiviti gotong-royong melibatkan Jawatankuasa Penduduk, ceramah kesihatan, melakukan aktiviti aedes survey dan juga kaedah semburan  kabus (fogging). Terbaru, MPSJ melalui “Program Perkongsian Pintar” ( Smart Partnership ) bersama pihak CIMB dan USM telah memetrai satu Memorandum Persefahaman ( MOU ) pada Julai 2009 bagi projek perintis penggunaan nyamuk TOXO sebagai ajen pengawal aedes. Nyamuk TOXO ataupun nama saintifiknya Toxorhynchites ( TOXO ) merupakan nyamuk pemangsa di mana peringkat larva nyamuk ini akan memakan peringkat larva nyamuk lain yang membiak di habitat yang sama. Habitat nyamuk ini adalah di kawasan hutan dan memerlukan persekitaran yang mempunyai tumbuh-tumbuhan untuk hidup dengan baik. Untuk makluman, nyamuk TOXO dewasa berukuran 19mm panjang, 24mm bagi bukaan sayap dan hanya memakan madu bunga serta jentik-jentik nyamuk aedes. Jangka hayat nyamuk TOXO pula adalah di sekitar 2 hingga 3 minggu sahaja dan nyamuk TOXO betina secara purata boleh bertelur sebanyak 58 hingga 65 biji telur. Buat permulaan, kawasan USJ 1 Subang Jaya telah dipilih sebagai lokasi pelepasan 100 ekor nyamuk TOXO betina dan 100 ekor nyamuk TOXO jantan. Turut hadir menjayakan majlis berkenaan adalah Y.Bhg Dato' Asmawi Kasbi, Yang Dipertua MPSJ, Y.B. Tuan Dr. Xavier Jayakumar, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin, Ahli Majlis dan Pengarah Jabatan Kesihatan. Pemilihan dibuat di kawasan pembinaan yang ditinggalkan yang berkeluasan 6 hektar. Pemilihan kawasan ini dibuat kerana kawasannya bukan sahaja dikelilingi oleh tumbuhan hijau malah terdapat tempat pembiakan artificial seperti bekas plastik, styroform dan lain-lain serta tempat pembiakan semulajadi seperti lubang pokok. Projek ini menelan belanja RM60,000.00 dan telah melalui 3 peringkat fasa kajian populasi nyamuk seperti berikut:

a) Fasa 1 (7-14/4/2011),

b) Fasa 2 (18-26/4/2011)     dan

c) Fasa 3 (30/4-9/5/2011).

PERTANDINGAN BOLA KERANJANG - PIALA SERDANG 2011

Bertempat di Gelanggang Bola Keranjang Seri Kembangan Jalan SK 8, Pertandingan Bola Keranjang – Piala Serdang 2011 telah diadakan pada 7 Jun 2011. Pertandingan ini telah dirasmikan oleh YAB. Tan Sri Abdul Khalid Bin Ibrahim, Dato’ Menteri Besar Selangor diiringi oleh Dato’ Asmawi B. Kasbi Yang Dipertua MPSJ. Turut serta sebagai tetamu VIP adalah Exco Negeri Selangor iaitu Y.B Tuan Ronnie Liu Tan Khiew dan Y.B Tuan Ean Yong Hian Wah. Ketibaan YAB. Tan Sri Abdul Khalid Bin Ibrahim, telah disambut dengan tarian singa dan seterusnya nyanyian lagu Negaraku dan Negeri Selangor. Sebelum pertandingan bermula para VIP telah diperkenalkan dengan peserta yang mengambil bahagian.

PERHIMPUNAN BULAN JUN 2011

MPSJ telah menganjurkan perhimpunan bulanan pada 8 Jun 2011 di hadapan Kompleks Sukan MPSJ yang telah dikendalikan oleh Jabatan Perancangan Bandar. Perhimpunan bulanan pada kali ini adalah amat bermakna bagi seluruh wargakerja MPSJ apabila menerima Yang Dipertua yang baru setelah hampir empat bulan menjalankan tugas tanpa ditadbir oleh seorang yang bergelar Yang Dipertua. Majlis perhimpunan telah dimulakan dengan sesi nyanyian lagu Negaraku dan Negeri Selangor oleh seluruh wargakerja MPSJ dan diteruskan dengan sesi bacaan doa yang diketuai oleh Encik Tabrani Bin Yusof serta lafaz ikrar perkhidmatan awam oleh Encik Noremi Bin Darwi. Sesi pengucapan awam telah disampaikan oleh Tuan Yunos Bin Kashib selaku Pengarah Perancangan Bandar yang menyentuh berkenaan peranan dan tanggungjawab kakitangan dalam menunaikan amanah sebagai seorang pekerja. Ucapan seterusnya adalah dari Y.Bhg.Dato’ Asmawi Bin Kasbi selaku Yang Dipertua MPSJ yang baru. Beliau menekankan aspek kepentingan dalam bekerja bersungguh-sungguh tanpa membezakan pangkat dan kedudukan. Mengamalkan budaya 5S, dan mencontohi aspek-aspek positif yang diaplikasikan di negara-negara maju. Beliau menyeru kepada seluruh wargakerja MPSJ supaya dapat bekerja dalam satu pasukan untuk terus menjadi sebuah organisasi yang cemerlang. Y.Bhg. Dato’ Asmawi Bin Kasbi juga berharap dapat memikul amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan untuk mentadbir MPSJ menjadi sebuah PBT yang terus unggul dengan mengekalkan kecemerlangan ke peringkat yang lebih tinggi.

MS